Robert Stephenson Smyth Baden-Powell
Pengakap telah diasaskan oleh seorang bangsa
lnggeris bernama Robert Stephenson Smyth Baden-Powell yang terkenal
dengan nama Lord Baden-Powell atau BP. Baden-Powell dilahirkan di bandar London,
England pada 22 Februari 1857, dan meninggal dunia pada 8 Januari,
1941. Bapa Baden-Powell bernama Reverend H.G. Baden-Powell adalah
seorang mahaguru di Universiti Oxford, London, England. Ibunya ialah
anak kepada Laksamana British bernama W.T. Smyth.
Sewaktu Baden-Powell berusia tiga tahun, bapanya
meninggal dunia dan tinggallah beliau bersama ibunya dalam keadaan yang
sederhana. Pada zaman persekolahan Baden-Powell banyak menceburkan diri
dalam kegiatan sekolahnya seperti berlakon, menyanyi dan menembak. Dalam
masa cuti sekolah Baden-Powell bersama-sama tiga orang abangnya selalu
pergi mengembara berjalan kaki berkhemah, belayar dan berperahu. Setelah
berjaya dalam peperiksaan tentera, BP telah ditauliahkan sebagai
Leftenan Muda dan mula berkhidmat dalam tentera di India dan Afghanistan
dalam tahun 1876, kemudian ke Natal (Zululand) dan Malta sebagai
penolong Setiausaha Tentera.
Beberapa tahun kemudian beliau dihantar bertugas di
Afrika Barat untuk menamatkan satu peperangan di Ashanti, Ghana. Di situ
beliau digelar KANTANKYE yang bermaksud Topi Besar. Dalam peperangan
Baden-Powell sentiasa berhati-hati terhadap pergerakan musuh hinggakan
beliau digelar IMPEESA yang bermaksud Serigala yang tak pernah tidur.
Dalam tahun 1897, BP dinaikan pangkat menjadi Kolonel dan ditempatkan di
India untuk memimpin Dragoon Guard ke 5. Beliau telah memberi hadiah
kepada askar-askar yang menunjukkan kebolehan yang baik dengan satu
lencana bergelar SCOUTS (Peninjau).
Dalam tahun 1899 Baden-Powell pulang ke England
membawa sebuah buku yang dikarangnya semasa di Kashmir berjodol Aids To
Scouting. Buku itu mengandungi kisah peninjauan di India. Tidak lama
kemudian, Baden-Powell telah dihantar ke Afrika Selatan untuk
menambahkan dua rejimen askar berkuda untuk mempertahankan sempadan British
dari serangan orang Boer iaitu puak keturunan pendatang Belanda.
Orang-orang British telah mengepung bandar Mafeking, iaitu sebuah bandar
jajahan British, dengan itu mencetuskan satu peperangan besar yang
dinamakan Peperangan Boer. Dalam peperangan itu, Baden-Powell hanya
mempunyai seramai 1,000 orang askar berbanding dengan 9,000 orang Boer.
Dengan tipu helah, beliau meletakkan periuk api pasir dan papan tanda
BAHAYA sehingga beliau telah berjaya memperdayakan orang-orang Boer.
Beliau telah menggunakan budak-budak untuk mengintip
rahsia musuh. Akhirnya Baden-Powell berjaya memenangi peperangan itu. Di
atas kemenangan itu, beliau telah dinaikkan pangkat Mejar Jeneral
ketika berumur 43 tahun, pegawai yang termuda menerima pangkat itu.
Selepas perang Boer, Baden-Powell diarahkan menubuhkan pasukan polis
Afrika Selatan dan dilantik sebagai Jeneral Tentera Berkuda. Beliau
menjadi Jeneral pasukan tentera Simpanan ketika berumur 50 tahun.
Setelah bersara dari tentera, Baden-Powell pulang ke
England dan telah menganjurkan satu perkhemahan di Pulau Browsea selama
10 hari pada tahun 1907. Seramai 21 orang budak-budak turut serta dalam
perkhemahan itu. Baden-Powell menggunakan idea
berpandukan kepada pengalamannya dalam peperangan Mafeking dan buku
“Aids To Scouting”. Budak-budak itu dibahagikan kepada empat patrol.
Mereka belajar dan berlatih cara berkhemah, memasak, memerhati,
mengembara, berperahu, menyelamat nyawa dan mengesan jejak. Pada
malamnya diadakan unggun api. Perkhemahan di Pulau Browsea berjaya dan
amat diminati oleh budak-budak yang menyertainya.
Selepas itu dalam tahun 1908, Baden-Powell pula
mengarang sebuah buku berjudul “Scouting For Boys”. Kandungannya
berdasarkan kepada pengalaman beliau semasa menjadi askar di India dan
Afrika serta perkhemahan budak-budak di Pulau Browsea. Buku itu telah
memikat hati budak-budak. Dengan itu wujudlah Pergerakan Pengakap. Dalam
tempoh setahun sahaja Pergerakan Pengakap berkembang di England dan
merebak ke Australia, Canada, New Zealand dan Afrika Selatan. Berikutnya
pada tahun 1909, Pergerakan Pengakap ditubuhkan di Chile, Amerika
Syarikat, Ghana, India dan selepas itu di seluruh dunia.
No comments:
Post a Comment